Doa Nabi Allah Yunus a.s. ketika di dalam perut ikan paus.
Rasulullah s.a.w telah meriwayatkan bahawa : "Barangsiapa yang membaca kalimah ini, orang itu akan dilapangkan Allah s.w.t. dari segala kesempitan".
Kalimah itu ialah doa yang diucapkan oleh nabi Allah Yunus a.s. ketika di dalam perut ikan Paus.
Maksudnya :
"Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah, melainkan engkau, ya Allah. Maha Suci engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang membuat zalim".
(Surah Al-Anbiya : Ayat 87)
Menurut riwayat, nabi Allah Yunus a.s. telah dicampakkan ke laut setelah diundi beberapa kali, tatkala kapal yang dinaiki oleh baginda hampir karam. Allah memerintahkan kepada ikan paus untuk menelannya. Keadaan di dalam perut ikan paus itu sungguh tidak selesa dan baginda berharap agar Allah mengeluarkan baginda dari perut ikan tersebut.
Allah telah mengilhamkan Nabi Allah Yunus a.s. untuk membaca doa tersebut. Dan apabila Nabi Allah Yunus a.s. membaca doa tersebut, baginda terasa lapang dan tenang. Akhirnya Nabi Allah Yunus a.s. terselamat apabila dimuntahkan kembali oleh ikan paus dan baginda terdampar di tepi pantai serta diselamatkan oleh orang lain.
Jadi, jika kita rasa susah hati dan menghadapi sebarang kesusahan serta kepayahan, maka bacalah doa ini. Disamping itu kita jangan lupa berdoa dan mengharapkan pertolongan Allah s.w.t.. Zikir ini juga dapat mengukuhkan iman dan menimbulkan keinsafan di dalam diri kita. Tatkala kita membacanya patut kita hayati sungguh-sungguh bahawa kita telah menzalimi diri kita.
Oleh itu kita hendaklah bertaubat daripada segala dosa, samada kecil atau besar, yang disedari atau tidak, terhadap manusia atau dosa terhadap Allah s.w.t.. Mudah-mudahan Allah s.w.t. mengampunkan segala dosa kita dan melapangkan segala kesempitan kita. Setiap muslim berdoa dengan ayat ini akan diperkenankan doanya.
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
No comments:
Post a Comment